Lawatan Sambil Belajar ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang

14 Oktober 2011

Pelajar  dan guru mula berkumpul di SMKSA sejak 5.00 petang. Meja pendaftaran dibuka dan barang-barang keperluan utama seperti peti kecemasan, bekalan air minuman dan makanan ringan mula dikumpulkan. Taklimat akhir tentang perjalanan ini disampaikan olah Tn. Hj. Minhad.

Tepat jam 6.30 petang, kami bertolak  ke Perlis dengan menaiki dua buah bas. Seramai 11 orang guru dan 65 orang peserta mengikuti lawatan ini terdiri daripada  pelajar-palajar Sains Pertanian, Lukisan Kejuruteraan, Pengawas dan Kelab Lestari.

Rombongan kami berhenti rehat di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Machap untuk makan malam serta solat jamak Maghrib dan Isya’. Perjalanan diteruskan pada pukul 10.00 malam.

15 Oktober 2011

            Pada pukul 4.30 pagi, rombongan kami singgah di R&R Gunung Semanggol untuk urus diri, sarapan dan solat subuh. Perjalanan diteruskan pada pukul 6.45 pagi. Matahari pagi yang menyinari menarik minat kami untuk menikmati panorama indah sawah padi yang terbentang luas di sepanjang perjalanan. Kami juga melalui hadapan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan merentasi Ladang Tebu Chuping.
           
Kami tiba di Padang Besar pada pukul 9.30 pagi. Kami menjamu mata dan membeli barangan cenderahati untuk keluarga dan rakan-rakan. Sempat juga guru-guru pengiring menjamu pulut ayam dan laksa perlis.
Pemandangan sawah padi
           
Tepat jam 11.00 pagi, perjalanan kami diteruskan lagi menuju ke Gua Kelam. Kami tiba di Gua Kelam pada pukul 11.45 pagi. Kami menikmati udara segar serta  keindahan air terjun dan jeram di kaki Banjaran Nakawan. Gua Kelam terletak dalam Hutan Simpan Wang Mu. Hutan Simpan Wang Mu seluas 2000 hektar. Nama Gua Kelam adalah gelaran yang diberikan oleh pelombong-pelombong kerana kegelapan gua itu sendiri.
       

Setelah selesai urusan pembayaran sebanyak RM250.00 untuk semua ahli rombongan yang diuruskan oleh Hj. Minhad dan En. Khairunizam, kami dibawa melawat galeri semulajadi Gua Kelam. Galeri ini mempamerkan artifak aktiviti perlombongan oleh pelombong Cina dan Eropah. Kami  dibenarkan masuk ke dalam gua pada pukul 12.15 tengahari. En. Hasbollah bin Hj. Ramli dari Jabatan Perhutanan Negeri Perlis menjadi juru pandu kami. Setelah menaiki tangga setinggi kira-kira 15 meter, kami beratur memasuki terowong batu granit. Walaupun perjalanan agak mudah kerana laluan bersimen, tetapi becah kerana titisan air dari bumbung gua dan mendaki pada kecerunan kira-kira 30Âș. Hawa di sini terasa sejuk. Selepas perjalanan sejauh 40 meter, kami mula memasuki gua batu kapur. Perjalanan di dalam gua batu kapur  formasi setul Gua Kelam sejauh 60 meter. Sepanjang perjalanan, kami mendengar penerangan En. Hasbollah tentang sejarah dan artifak yang terdapat di dalam gua ini.
     
Pemandangan di kaki banjaran Nakawan

Artifak peninggalan pelombong

Kabel tempat menggantung kayu untuk
 kegunaan pelombong

En. Hasbollah menerangkan tentang sejarah dan
artifak yang terdapat di dalam gua kelam
    
Gua Kelam diterokai kerana terdapat bijih timah bermutu tinggi oleh pelombong-pelombong Cina Sinkheh pada tahun-tahun 1920-an. Kesan kegiatan perlombongan dan artifak peralatan perlombongan masih ada di dalam gua ini. Pada pukul 1 petang kami telah berada di luar gua, berehat sambil menghilangkan dahaga. Pada pukul 1.45 petang, kami memulakan perjalanan ke ladang Anggur.

Kami tiba di Ladang Anggur Jabatan Pertanian Perlis pada pukul 2.30 petang. Dengan bayaran sebanyak RM 3.00 seorang, kami dibawa masuk ke ladang anggur dengan diiringi oleh “Kak Nana”  selaku pegawai penerangan di ladang ini. Jabatan Pertanian Perlis telah membawa masuk pokok anggur ke Malaysia sejak tahun 1986 dan memulakan penyelidikan untuk penanaman anggur di Perlis. Penanaman anggur secara besar-besaran di ladang ini bermula pada tahun 2005. keluasan ladang ini ialah 12  hektar. Kami amat teruja melihat pokok anggur yang merimbun dan buah yang berjuntaian. Ada yang berwarna hijau dan merah kehitaman. Tetapi sayangnya kami tidak dibenarkan memetik buah-buah angur itu. Sempat juga seorang peserta menyanyikan sebaris lagu Kalau Berpacaran – “boleh pandang-pandang... jangan pegang-pegang”, dendangan Ana Rafali dan Sohaimi.

Spesis anggur yang sesuai ditanam di sini ialah Black Queen, Black Opal, Pokdam, Losse Pelette, Caldinal  IAC dan New White Malaga. Pokok anggur memerlukan iklim panas dan tanih lempung berpasir. Pokok anggur tidak boleh terlalu banyak air kerana akan menyebabkan buahnya berasa masam. Oleh sebab itu, pokok anggur di ladang ini ditanam dalam struktur pelindung hujan (SPH). Ladang ini menggunakan sistem titisan dan ‘springkler’ untuk menyiram selama 20 minit setiap selang sehari.

Walaupun keadaan di dalam SPH ini agak hangat seperti sedang bersauna, namun keterujaan kami terhadap tanaman anggur ini membuat kami terus bertahan. Menurut penerangan Kak Nana, daun pokok perlu dicantas sehingga gondol untuk menggalakkan pokok berbuah. Pokok akan mula berbunga, berbuah, masak dan dituai dalam masa empat bulan sahaja. Dalam tempoh ini, pokok memerlukan air pada kadar minima (musim panas). Pokok ‘direhatkan’  selama dua bulan sebelum daun-daunnya dicantas semula. Ini bermakna pokok anggur di ladang ini mengeluarkan hasil dua kali dalam setahun. Jangka hayat pokok boleh mencapai 30 tahun. Oleh sebab pokok anggur ditanam di dalam SPH, serangan penyakit dan serangga perosak dapat dikawal dengan berkesan di ladang ini.

Sebelum beredar kami membeli anggur yang ditanam di ladang ini. Harganya RM 10.00 sekilogram. Anggurnya kecil-kecil tetapi “mmmm manis...”

Pada pukul 3.45 petang, kami bertolak ke bandar Kangar untuk makan. Kami berada di Bandar Kangar sehingga pukul  4.30 petang dan meneruskan perjalanan ke Mata Ayer. Pada Pukul 5.30 petang kami mendaftar masuk di Mata Ayer Home Stay. Kami dibahagikan kepada empat kumpulan untuk empat buah rumah penginapan. Sepanjang petang dan malam, aktiviti bebas membolehkan kami berehat habis-habisan...

16 Oktober 2011

            Seawal 5.00 pagi, kami sudah bangun untuk mandi, solat, bersiap dan berkemas.. pada pukul 7.30 pagi kami meninggalkan  Mata Ayer Home Stay. Kami berhenti bersarapan di deretan gerai makan yang menyediakan sarapan pagi. Nasi lemak bungkus Perlis mempunyai pelbagai variasi lauk. Ada lauk ayam, telur, sardin, ikan bilis, ikan goreng dan sayur lemak. Memang sedap. Satu bungkus berharga RM1.00. Ada seorang pelajar lelaki yang makan sehingga enam bungkus. Katanya “memang lapar ni, malam tadi tak turun makan. Penat. Tidur. Lagipun nak cuba semua. Semuanya sedap”. Ish ish ish...

     


  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan